Monday, March 29, 2010

Hanya Itu Yang Saya Mahu

Saya melangkah perlahan ke wad Coronary Care Unit, dengan perasaan yang bercampur-baur. Saya dipanggil ke wad ini untuk mengesahkan kematian. Called to certify death. Saya bingung sekejap. Ya.. ia termasuk dalam bidang tugas seorang doktor -mengesahkan kematian. Dulu memang pernah belajar masa Tahun 4 dalam subjek Forensik. Ya,baru saya ingat. Huhu.

Wad itu tenang sahaja pada jam 10.30 malam. Ramai pesakit sudah tidur. Cuma ada seorang pesakit sudah ‘tidur’ selamanya. J.S. namanya. Saya mengambil darah dari tangannya pagi tadi. Saya dikehendaki memeriksa pesakit itu, untuk memastikan dia benar-benar telah mati, iaitu dengan:

- menyuluh matanya & memerhatikan no reaction to light

- mendengar pernafasannya selama 2 minit

- mendengar jantungnya selama 2 minit

- merasa nadinya

- memastikan tiada tindakbalas terhadap rasa sakit.

Saya menyelak langsir & masuk ke ruang pesakit itu. Sebaik saja saya melihatnya, saya tahu saya mendatanginya sejurus selepas malaikat Izrail. Ruhnya sudah dibawa masuk ke alam lain. Yang pucat, kaku dan sejuk di depan saya ini cuma badan yg sudah tidak berguna. Yang sudah tua, yang sudah rosak jantungnya dan paru-parunya, yang menjadi tempat tinggal bakteria MRSA (Methicillin- Resistant Staphylococcus Aureus) hingga menyebabkan saya mesti memakai apron & sarung tangan untuk menghampirinya.

Malaikat Izrail sudah menziarahi dia. Baru sekejap tadi. Allah sahaja yang tahu bila malaikat itu akan menziarahi saya pula. Oh saya tidak bersedia lagi untuk menerima kunjungannya!

Mati itu benar. Tidak ada apa yang dongeng tentangnya.

Selepas melaksanakan apa yang patut, merekodkannya dan menandatangani segala kertas-kertas, saya meninggalkan bilik itu. Ahli keluarga J.S. ramai dan sudah berkerumun di luar pintu. Saya sempat bertanya kepada jururawat yang menjaga J.S., dia menyaksikan kematian itu. Katanya, ”I saw life drained out of him.” Saya tidak sangka jururawat Irish itu akan mengeluarkan ayat sebegitu. Ia menggerunkan saya memikirkan kehadiran Izrail.

Kematian itu tidak dapat dipercepatkan atau dilambatkan walau sesaat, walaupun dengan bantuan alat-alat pernafasan tercanggih, antibiotik terkuat dan kepakaran terhebat manusia. Itulah sakit yang tiada ubatnya, yang dikatakan oleh Rasulullah saw.

Oleh kerana

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasakan mati.” (Surah Ali-Imran:ayat 185)

Maka..

Berjihadlah kita berhabis-habisan, korbankanlah segala-galanya yang kita ada dalam hayat yang terlalu pendek ini untuk mencari keredhaan Allah yang Maha Agung, Tuhan Semesta Alam. Tidak mengapa jika tidak dikenali penduduk dunia, asalkan disanjung penghuni langit. TANAMkan betul-betul dalam jiwa, bahawa….

TIDAK ada apa lagi yang lebih kita inginkan, lebih kita cita-citakan, teramat kita impi-impikan selain dari mendengar…

“Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas dan diredhaiNya. Masuklah ke dalam jamaah hamba-hambaKu. Dan masuklah ke dalam syurgaKu.” (Surah Al-Fajr:ayat 27-30)

diucapkan pada diri ini pada hari mati.
That’s all.
That’s all we ever wanted.

Cerpen ini adalah dari email seorang sahabat saya yang sedang belajar di Ireland dalam bidang perubatan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...